Sabtu, 31 Mac 2012

NOTA SOALAN DAN JAWAPAN BAB 3 TINGKATAN 4


BAB 3: TAMADUN AWAL ASIA TENGGARA
 
1
a
Nyatakan contoh-contoh tamadun awal yang wujud di Asia Tenggara. (Rujuk Buku Teks m.s: 72)


·         Tanah Besar Asia Tenggara
Ø  Funan, Chenla, Angkor, Sukhotai dan Ayuthia.
·         Kepulauan Asia Tenggara
Ø  Tanah Melayu (Kerajaan Kedah Tua, Gangga Negara dan Langkasuka)
Ø  Kepulauan Indonesia (Kerajaan Srivijaya, Majapahit, Singhasari dan Mataram)


b
Berikan bukti-bukti kewujudan tamadun awal di Asia Tenggara. (Rujuk Buku Teks m.s: 73-74)



·    Sumber bertulis dan artifak arkeologi.
Sumber dari China membuktikan bahawa Funan ialah kerajaan terawal di Asia Tenggara yang berkemungkinan telah wujud semenjak abad kedua Masihi.
Data arkeologi pula menunjukkan bahawa kewujudan Funan bermula semenjak abad ketiga Masihi. Ini dibuktikan dengan jumpaan seni arca berunsur Hindu dan Buddha yang langgamnya dipengaruhi oleh langgam seni arca Amravati dari India.

·         Zaman Logam.
Artifak gendang gangsa Dongson yang dihasilkan di Dongson, Vietnam Utara, turut ditemui di Batu Buruk, Besut, Terengganu; Sungai Tembeling (Pahang); Sungai Klang (Selangor); Thailand, Indonesia dan Myanmar.
Artifak manik yang dijumpai di Kuala Selinsing (Perak), di Kota Tinggi dan Muar (Johor), di pantai barat dan selatan Thailand.


2.
a.
Apakah yang dimaksudkan “Kerajaan Agraria.”?  (Rujuk Buku Teks m.s. 75)



·         Kerajaan yang menjalankan kegiatan ekonomi berasaskan pertanian, penternakan dan pemungutan hasil hutan dan sungai. Terbentuk di kawasan pertanian yang subur seperti lembah sungai.


b.
Terangkan aktiviti ekonomi masyarakat dalam Kerajaan Agraria. (Rujuk Buku Teks m.s. 75 - 76)

·         Tanaman Padi.
Padi sawah (lembah sungai), padi huma (kawasan tanah tinggi dan bukit – kurang mendapat bekalan air).
·         Tanaman sampingan – jagung, pisang, keledek, sayur-sayuran.
·         Rempah – cengkih, lada hitam.
·         Pengumpulan hasil hutan – kayu gaharu, kapur barus, tanduk, gading, damar, kayu cendana, dan pelbagai jenis buah-buahan.
·         Menangkap ikan di sawah, paya dan sungai.
·         Mendapatkan kulit kura-kura.
·         Menternak binatang – lembu, kerbau, kambing dan ayam.


c.
Jelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi kemajuan aktiviti pertanian dalam masyarakat Agraria ini.  (Rujuk Buku Teks m.s. 76 - 77)


·         Pembinaan sistem pengairan yang baik. Contohnya, perkembangan pertanian di Funan dan Angkor yang memperolehi sumber air dari Sungai Mekong dan Tasik Tonle Sap.
·         Raja sendiri terlibat dalam pembinaan sistem pengairan. Contohnya, Raja Indravarman I (877 M). Beliau membina sistem pengairan dan baray yang mampu mengairi tanah seluas 12.5 juta ekar. Kesannya, hasil pengeluaran padi dari kawasan tersebut telah dapat menampung keperluan beras kerajaan Angkor.



d.
Berikan contoh-contoh Kerajaan Agraria yang terdapat di Asia Tenggara.
(Rujuk Buku Teks m.s. 75)


·         Kerajaan Dvaravati di Sungai Menam (Thailand) dan Sungai Irrawaddy (Myanmar); Kerajaan Sungai Merah (Vietnam);
Kerajaan Sungai Mekong (Kemboja, Laos dan Vietnam);
Kerajaan Taruma di Tanah Tinggi Dieng (Indonesia).
Kerajaan Sailendra (Jawa Tengah),
Angkor (Kemboja) dan
Sukhotai (Thailand).


e.
Apakah iktibar yang boleh diambil daripada masyarakat Agraria ini? (Rujuk Buku Teks m.s. 77)


·         Kita juga boleh maju sekiranya mampu memanfaatkan setiap kurniaan Tuhan dengan sebaik-baik mungkin dan yang penting kita perlu berusaha dan jangan mudah berputus asa.

3.
a.
Apakah yang dimaksudkan “Kerajaan Maritim.”? (Rujuk Buku Teks m.s. 75)



·         Kerajaan yang menjalankan kegiatan ekonomi berasaskan perdagangan dan kelautan serta berfungsi sebagai pelabuhan. Kerajaan ini terletak berhampiran dengan kawasan di pesisir pantai, lembah sungai dan kepulauan.


b.
Terangkan aktiviti ekonomi masyarakat dalam Kerajaan Maritim. (Rujuk Buku Teks m.s. 78 - 79)


·         Peringkat awal, masyarakat menjalankan kegiatan menangkap ikan dan memungut hasil laut. Petempatan ini kemudian berkembang menjadi perkampungan nelayan. Apabila kegiatan ekonomi mereka membawa hasil yang melebihi keperluan masyarakat setempat, maka lebihan ini telah diperdagangkan di kalangan petempatan tersebut. Akhirnya kawasan tersebut menjadi pelabuhan pembekal.

·         Pelabuhan pembekal mendapat bekalan hasil tempatan seperti emas, timah, hasil hutan (kayu gaharu, rotan, damar, hasil hutan) dan makanan. Pelabuhan ini disinggahi oleh para pedagang yang mahu mendapatkan bekalan tersebut. Contohnya, Jenderam Hilir dan Klang (Selangor), Kuala Berang (Terengganu), Kuala Selinsing (Perak).

·         Pelabuhan kerajaan seperti Champa, Kedah Tua, Langkasuka dan Srivijaya. Kerajaan ini masih berperanan sebagai pelabuhan pembekal dan tempat berdagang. Pada awalnya, pelabuhan ini berdagang dengan kawasan yang berhampiran.

·         Pelabuhan entrepot. Kawasannya terletak di kedudukan perdagangan yang amat strategik seperti Kedah Tua dan Srivijaya yang terletak di Selat Melaka dan Selat Sunda. Ia berada di laluan perdagangan di antara China dan India. Pelabuhan ini memperdagangkan hasil buminya dan hasil dari kerajaan lain yang dibekalkan kepadanya. Pedagang asing tertarik untuk singgah di pelabuhan ini. Kesannya, Tanah Melayu dan Sumatera dikenali sebagai Suvarnadvipa (Semenanjung Emas) dan Suvarnabhumi (Bumi Emas).

·         Penduduk terdiri daripada orang tempatan, orang laut dan pedagang luar.


c.
Jelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi kemajuan aktiviti perdagangan dalam masyarakat Maritim ini. (Rujuk Buku Teks m.s. 80)

·         Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa perhubungan atau lingua franca. Dituturkan secara meluas dan digunakan dalam pelbagai urusan termasuk urusan perdagangan.


·         Pelabuhan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan dan kedudukannya yang strategik. (Contohnya Kerajaan Kedah Tua). Terlindung daripada tiupan angin monsun barat daya dan timur laut, adanya Gunung Jerai yang menjadi panduan kapal pedagang yang keluar masuk terutamanya pada waktu malam melalui nyalaan api, adanya kemudahan tempat menyimpan barang dagangan dan kekayaan hasil hutan dan sumber bumi.

·         Semangat masyarakat untuk meneroka dan berdagang dengan masyarakat di luar kawasannya. Mereka mahir membuat perahu (digunakan untuk perdagangan jarak dekat) dan kapal layar (digunakan untuk perdagangan jarak jauh). Mereka juga mengetahui kaedah untuk menuju ke sesuatu tempat berpandukan bintang di langit.

·         Memiliki bala tentera laut yang besar dan dianggotai oleh pelbagai golongan rakyat termasuk orang laut. Tentera laut ini berfungsi untuk mengawal perdagangan di Selat Melaka dan mengawal keselamatan kerajaan. (contohnya, Kerajaan Srivijaya).


d.
Berikan contoh-contoh Kerajaan Maritim yang terdapat di Asia Tenggara.
(Rujuk Buku Teks m.s. 78)

·         Kerajaan Srivijaya di Sungai Musi,
·         Kerajaan Kedah Tua di Sungai Merbok dan Sungai Muda,
·         Kerajaan Tiumah di Pulau Tioman (Pahang).
·         Langkasuka di Sungai Yarang,
·         Chih-tu di Sungai Kelantan,
·         Mo-lo-yu di Sungai Batang Hari,
·         Kalah di Sungai Takuapa,
·         Fo-lo-an di Sungai Terengganu,
·         Peng-keng di Sungai Pekan, Pahang.


e.
Apakah iktibar yang boleh dipelajari daripada masyarakat Maritim ini? (Rujuk Buku Teks m.s: 80)


                                                     
·         Kita harus mempunyai semangat meneroka agar aktiviti ekonomi dapat dipelbagaikan.
·         Kita harus berani menceburi bidang perdagangan laut dan bercita-cita menghidupkan kembali kegiatan dan kegemilangan lampau dalam bidang pelayaran dan perdagangan maritim.







4.
a.
Terangkan cara-cara kedatangan pengaruh Hindu dan Buddha ke Asia Tenggara. (Rujuk Buku Teks m.s. 84)



Pendapat sejarahwan tentang kedatangan pengaruh Hindu dan Buddha ke Asia Tenggara :-
1.      Dibawa oleh golongan Ksyatria atau tentera. Dibawa dan disebarkan oleh golongan penakluk dari India yang membentuk tanah jajahan takluk di Asia Tenggara.
2.      Dibawa oleh golongan pedagang atau vaisya.
3.      Dibawa oleh golongan Brahmin atau pendeta.
4.      Proses ini berlaku melalui pengambilan aspek-aspek kebudayaan India yang menarik sahaja dan kemudian disesuaikan dengan budaya tempatan untuk diamalkan. Sejarahwan lebih menerima pendapat keempat ini (jumpaan seni arca yang kasar yang mempunyai langgam bercirikan Asia Tenggara khususnya, seperti arca dengan ikatan tali kulit harimau yang hanya ditemui di Srivijaya).



b.
Jelaskan pengaruh Hindu dan Buddha dalam sistem pemerintahan kerajaan awal di Asia Tenggara.  (Rujuk Buku Teks m.s. 85 - 86)



1.      Gelaran raja. Gelaran ini hanya mula digunakan apabila muncul kerajaan awal yang dipengaruhi oleh sistem beraja di India. Raja berada di puncak pemerintahan. Di bawahnya terdapat kerabat diraja, dan selepas itu, pembesar, termasuk ahli agama, iaitu Brahmin. Kemudian terdapat pula rakyat daripada pelbagai golongan dan yang paling bawah ialah hamba.
Raja berkuasa mutlak dalam semua aspek pemerintahan yang meliputi pentadbiran, hubungan luar, ketenteraan dan khazanah negara. Perintah raja menjadi undang-undang yang wajib dilaksanakan. Sesiapa yang melanggar perintah bermakna mereka menderhaka dan tidak akan diampunkan. Raja dikehendaki adil terhadap golongan yang diperintah.
2.      Konsep dewa-raja. Raja merupakan bayangan Tuhan. Rakyat takut untuk menderhaka kepada Raja walau pun raja tidak berlaku adil. Raja Tuhan atau dewa-raja dipercayai mempunyai kesaktian.
3.      Adat istiadat pertabalan raja. Upacara ini dipimpin oleh golongan Brahmin tanpa mengira sama ada raja tersebut menganut agama Hindu atau Buddha. Tujuan adat istiadat ini adalah untuk membezakan kedudukan raja daripada golongan yang diperintah.

4.      Orde kosmos. Raja berkuasa terhadap seluruh alam semesta. Negara dianggap sebagai suatu alam semesta. Sehubungan itu, raja dan ibu kotanya ialah pusat alam dan pusat pemerintahan. Raja bertanggungjawab untuk mengatur kesejahteraan negara dan rakyat selaras dengan Dharma. Contohnya Raja Suryavarman II, pemerintah Kerajaan Angkor telah membina Angkor Wat.


c.
Huraikan pengaruh Hindu dan Buddha dalam kesenian dan kesusasteraan. (Rujuk Buku Teks m.s: 88-94)


                                                                                                             


1.      Seni bina iaitu monumen. Monumen ialah binaan atau bangunan yang dibuat daripada batu dengan tujuan memperingati orang ternama atau peristiwa penting. Monumen ini boleh berupa candi, iaitu kuil, wat atau stupa, arca dan patung.
·         Candi.
Monumen keagamaan bagi agama Hindu dan Buddha.
Berperanan  sebagai rumah ibadat,
tempat menyimpan abu jenazah raja dan keluarganya,
tempat menyimpan patung dewa utama bagi sesebuah kerajaan awal,
lambang kepada keagungan seseorang pemerintah berdasarkan kehebatan seni binanya.
Angkor Wat dan Candi Borobudur melambangkan orde kosmos.
Candi yang terkenal di Asia Tenggara ;
Candi Dieng (6 M), Candi Borobudur (8 M), Candi Prambanan (9 M) di Indonesia,
Angkor Wat (12 M) di Kemboja,
Candi Chaiya dan Yarang (antara 7 – 13 M) di Thailand,
Candi di Lembah Bujang (antara 5 – 13 M) di Kedah.
·         Patung.
Patung Avalokitesvara merupakan patung agama Buddha,
Patung dewa Visnu, Siva, Brahma, Durga dan Lingga merupakan patung agama Hindu.
Patung lain ialah Drawapala dan Nandiswara yang menjaga candi daripada dimasuki oleh roh jahat.
Gaya seni bina arca dan patung ini menunjukkan adunan dua tamadun iaitu India dan Asia Tenggara.
·         Batu Bersurat.
Banyak terdapat di tapak-tapak sejarah awal di Asia Tenggara yang mengandungi maklumat tentang agama, pemerintahan, raja dan undang-undang.

Antara Batu bersurat yang dijumpai ialah
·         Di Kutei, – menjelaskan tentang keturunan raja.
·         Di Sungai Mas, Kedah Tua – berkaitan dengan agama Buddha.
·         Di Palembang – ditulis dalam bahasa Melayu kuno. Berkaitan dengan pemerintahan dan amaran raja kepada rakyat dan pembesar agar tidak menderhaka kepada raja.

2.   Bahasa dan tulisan Sanskrit.
      Meningkatkan pencapaian dalam bidang intelek masyarakat.
      Bahasa keagamaan, bahasa ilmu dan komunikasi kerajaan awal di Asia
      Tenggara. Banyak perkataan Sanskrit masih kekal terdapat dalam bahasa       Melayu dengan mengalami penyesuaian seperti;
      
Bahasa Sanskrit
Bahasa Melayu
dosa
dukka
dorhaka
manusa
phala
rupa
samsara
aksara
dosa
duka
derhaka
manusia
pahala
rupa
sengsara
huruf
       
 3.  Bidang kesusasteraan.
Epik Ramayana, Mahabharata dan Puranas menyumbang kepada unsur mitos yang terdapat dalam kesusasteraan klasik Asia Tenggara. Seperti dalam puisi dan prosa Jawa – Nagarakertagama, Sutasoma, Arjunwiwaha, dan Kunjarkarna.  Daripada Mahabharata lahirlah karya seperti Hikayat Pendawa Lima, Hikayat Pendawa Jaya dan Hikayat Sang Samba.

Manakala daripada epik Ramayana lahirlah Hikayat Seri Rama.
Portal KPM

Jumaat, 30 Mac 2012

Facebook

NOTA SOALAN DAN JAWAPAN BAB 2 TINGKATAN 4

BAB 2: PENINGKATAN TAMADUN

 
1.
a.
Terangkan kedudukan Tamadun Yunani.     (Rujuk Buku Teks m.s: 38-39)



Tamadun Yunani berkembang di Semenanjung Greece dan pulau-pulau di sekitarnya yang dikelilingi oleh Laut Aegean dan Laut Mediteranean.






b.
Bagaimanakah Tamadun Yunani terbentuk?



Tamadun ini bermula dengan pembentukan petempatan manusia iaitu negara kota atau polis.  Ia terbentuk hasil gabungan beberapa buah kampung dan bandar sekitar tahun
1000-800 SM.



c.
Nyatakan bandar utama dalam Tamadun Yunani dan keistimewaannya.



Setiap negara kota mengandungi sebuah kota yang dikelilingi oleh kawasan pertanian.  Di dalam kota terdapat pasar, kubu, kuil dan istana.

Antara negara kota yang utama adalah Athens, Sparta dan Corinth yang terletak berhampiran Laut Mediteranean.  Setiap negara kota mempunyai corak pemerintahan dan undang-undang sendiri serta memiliki beberapa tuhan.

Masyarakat dalam negara kota sentiasa bersatu padu tetapi sering berlaku peperangan dengan negara kota yang lain.





2.
a.
Terangkan kedudukan Tamadun Rom?         (Rujuk Buku Teks m.s: 39-40)



Tamadun Rom terletak di kawasan Bukit Palatine, berhampiran dengan Sungai Tiber di Lembah Latium.






b.
Bagaimanakah Tamadun Rom terbentuk?



Lembah Latium diduduki oleh masyarakat Latin.  Semasa pemerintahan Romulus pada tahun 753 SM, lembah ini berkembang dan menjadi penting.








c.
Apakah fungsi majlis perbandaran yang terdapat dalam Tamadun Rom?



Pada abad kedua Masihi, pemerintah Rom telah mewujudkan majlis perbandaran di setiap bandar.  Ia menjalankan pentadbiran tanpa diganggu oleh kerjaan pusat.  Majlis perbandaran juga membawa kemajuan dan keselesaan hidup di bandar.  Pembinaan bandar terancang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti bekalan air, sistem pemanas, rumah ibadat, teater, sarkas, tempat berdialog (forum), rumah mandi awam dan istana.






d.
Nyatakan bandar utama dalam Tamadun Rom dan keistimewaannya.



Pompei merupakan bandar utama dalam tamadun Rom.  Di bandar ini terdapat pelbagai kemudahan seperti pejabat, dewan orang ramai, mahkamah, perpustakaan, rumah ibadat, kedai, pintu gerbang dan colloseum (binaan bulat tanpa atap, tempat pertandingan bagi pahlawan Rom).
Pada tahun 80 M, Pompei mempunyai 50 000 orang penduduk. 

Terdapat juga sistem saliran bawah tanah yang menyalurkan air melalui paip sejauh 165 kilometer yang melibatkan 14 buah saliran.  Ia dapat membekalkan air kepada penduduk semasa aman dan peperangan.  Ia juga digunakan untuk tujuan perindustrian dan pengangkutan. 





3.
a.
Terangkan kedudukan Tamadun India.          (Rujuk Buku Teks m.s: 40-41)



Ia terletak di tapak tamadun terawal di India iaitu tamadun Indus.






b.
Bagaimanakah Tamadun India terbentuk?



Tamadun Indus telah melalui era kecemerlangan antara tahun 2500-1800 SM.  Tamadun ini runtuh kerana kedatangan orang Aryan yang membawa budaya baru ke Lembah Indus.  Zaman ini dikenali sebagai Zaman Vedik sempena kelahiran kitab-kitab Veda. 

Zaman Vedik merupakan permulaan kehidupan beragama bagi masyarakat ini kerana bermulanya kewujudan agama Hindu.

Menjelang abad ke-7 SM, masyarakat ini beralih ke Lembah Ganges.






c.
Nyatakan dua bentuk kerajaan yang terdapat dalam Tamadun India.



Terdapat dua bentuk kerajaan dalam Tamadun India iaitu janapada atau kerajaan kecil dan mahajanapada atau kerajaan besar.  Pemerintahnya terdiri daripada golongan raja.






d.
Bagaimanakah Dinasti Maurya dibentuk?



Chandragupta Maurya telah menyatukan kerajaan-kerajaan kecil di India.  Ini menyebabkan kelahiran empayar yang pertama di India iaitu pada tahun 321 SM.  Dinasti Maurya telah berjaya menyatukan seluruh India utara.  Dinasti ini mencapai kemuncak kegemilangan semasa pemerintahan Asoka.





4.
a.
Terangkan kedudukan Tamadun China.   (Rujuk Buku Teks m.s: 41)



Tamadun China terletak di Lembah Hwang Ho dan meluas hingga ke bahagian selatan China.







b.
Bagaimanakah Tamadun China dibentuk?



Tamadun China terbentuk melalui peluasan kawasan semasa pemerintahan Dinasti Chin.  Kelahiran empayar yang pertama ini menandakan peningkatan dalam Tamadun China.  Dinasti Chin bermula pada tahun 221 SM dan berakhir pada tahun 206 SM.






c.
Siapakah Maharaja Shih Huang Ti?     



Maharaja Shih Huang Ti merupakan pengasas Dinasti Chin. 






d.
Apakah kejayaan-kejayaan Maharaja Shih Huang Ti?



Berjaya memperluas jajahan takluknya hingga terbentuk sebuah empayar. Jajahan takluknya amat luas sehingga ke Sungai Merah di Vietnam. Jajahan takluk yang luas dapat disatukan di bawah sebuah pentadbiran pusat.


5.
a.
Terangkan bentuk-bentuk pemerintahan yang diamalkan dalam Tamadun Yunani.   
(Rujuk Buku Teks m.s: 42-43)



Dalam tamadun Yunani wujud beberapa bentuk pemerintahan yang diamalkan oleh sesebuah negara kota. Bentuk pemerintahan itu mengalami beberapa perubahan daripada monarki, oligarki, diktator (tirani) dan kepada demokrasi.

1. Sistem pemerintahan beraja (monarki). Athens mengamalkan sistem beraja. Raja berperanan sebagai ketua hakim, ketua tentera dan ketua agama. Apabila kuasa konsol menjadi kuat, peranan raja sebagai ketua hakim, ketua tentera dan ketua agama merosot. Akibatnya, lahir sistem raja yang dipilih tetapi kuasanya terhad.

2.  Oligarki. Sistem pemerintahan oleh beberapa orang konsol (terdiri daripada golongan kaya). Daripada konsol ini lahir pula golongan aristokrat.

3. Aristokrasi. Aristokrat (golongan bangsawan yang kaya) yang memiliki kuasa yang besar dan menguasai pemerintahan.

4. Tirani oleh diktator. Bentuk pemerintahan ini  muncul akibat daripada tidak puas hati rakyat terhadap pemerintahan yang berbentuk aristokrasi, yang menuntut hak dan menyebabkan berlaku rampasan kuasa. Diktator bukannya golongan ariatokrat tetapi terdiri daripada golongan kaya atau tentera. Dalam sistem ini, pemerintahan dijalankan secara zalim dan kejam. Kekuasaan digunakan dengan sewenang-wenangnya. Ini disebabkan pemerintah berkuasa mutlak iaitu mempunyai kuasa yang tidak terhad.

5. Demokrasi. Bentuk pemerintahan ini muncul akibat daripada tindakan golongan aristokrat yang menentang proses rampasan kuasa yang disokong oleh rakyat biasa dalam sistem pemerintahan tirani (diktator).  Pemerintahan atau kerajaan yang ditadbir oleh wakil yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.

Dalam sistem demokrasi di Athens, terdapat Dewan Perhimpunan dan Majlis. Semua warganegara Athens diberi peluang menjadi anggota Dewan Perhimpunan antara enam bulan hingga setahun. Dewan perhimpunan bersidang sebanyak tiga kali dalam sebulan dan setiap ahli Dewan boleh mengemukakan cadangan tentang dasar kerajaan. Segala keputusan Dewan dikendalikan oleh Majlis. Ahli Majlis, Majistret dan juri dilantik oleh Dewan. Oleh itu, Dewan mempunyai kuasa penuh terhadap ketiga-tiganya. Sistem ini tidak berlaku di negara kota yang lain, yang mengamalkan sistem beraja berkuasa mutlak.

6. Sistem pemerintahan tentera. Diamalkan di Sparta  Di sini, sistem pertahanan diberikan perhatian yang penting. Anak lelaki dilatih dari awal untuk menjadi askar yang baik. Melalui sistem latihan telah menyebabkan Sparta berjaya melahirkan tentera yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan tentera yang handal.



b.
Terangkan bentuk-bentuk pemerintahan yang diamalkan dalam Tamadun Rom.                                     
(Rujuk Buku Teks m.s: 43-44)



1. Sistem beraja. Bermula dari tahun 753 S.M. Rom diperintah secara mutlak oleh raja-raja berketurunan Etruscan yang bukan berasal daripada kalangan masyarakat latin tempatan. Pemerintahan ini tidak disenangi oleh masyarakat Latin. Oleh itu, mereka dengan pimpinan golongan bangsawan (patrician) bangun memberontak. Hasilnya, Rom membentuk sebuah republik pada tahun 509 S.M.

2.  Sistem republik.  Dalam sistem ini, tiada pemerintah berkuasa mutlak. Kuasa tertinggi terletak pada dua orang konsul yang dilantik oleh Dewan Senat untuk sesuatu tempoh. Dengan itu, antara mereka tidak ada yang lebih berkuasa. Konsul dibantu oleh Dewan Senat yang diwakili oleh golongan bangsawan bagi membincangkan hal-hal pentadbiran negara dan merangka perundangan. Kebiasaannya, sebelum seseorang ahli Dewan Senat dilantik sebagai konsul, beliau ialah praeotor, iaitu pemerintah tentera. Di bawah Dewan Senat ialah Dewan Perhimpunan yang diwaklili oleh semua rakyat Rom. Segala keputusan Dewan Senat akan disampaikan kepada Dewan Perhimpunan untuk diluluskan. Sistem republik ini berubah  apabila Rom mencapai taraf empayar semasa pemerintahan Julius Caesar.

3.  Empayar. Bermula apabila Julius Caesar dapat meluaskan kuasanya ke Macedonia, Yunani, Syam, Mesir, Perancis, Brittania (Britain) dan beberapa kawasan di Jerman. Pemerintahan ini juga turut membentuk sistem pemerintahan berpusat, iaitu kesan penyatuan wilayah-wilayah kecil yang telah ditakluki. Julius Caesar akhirnya telah menamatkan sistem pemerintahan republik dan menjadi diktator. Beliau menguasai angkatan tentera dan Senat serta menggunakan gelaran maharaja.

Gelaran maharaja diteruskan oleh Augustus yang memerintah dari tahun 27 – 14 S.M. Walau pun memerintah sebagai maharaja, Augustus berjaya membawa keamanan dan keagungan kepada empayar Rom. Keamanan yang diasaskan oleh Augustus ini kekal selama 200 tahun. Zaman kegemilangan ini digelar sebagai Pax Romana (Keamanan Rom).  Keamanan ini dinikmati oleh empayar Rom yang terdiri daripada pelbagai bangsa dalam tiga benua, iaitu Asia, Afrika dan Eropah.






c.
Terangkan bentuk-bentuk pemerintahan yang diamalkan dalam Tamadun India.
(Rujuk Buku Teks m.s: 44-45)



Pada tahap awal pembentukannya, antara tahun 600 – 320 S.M., tamadun India mempunyai dua bentuk kerajaan iaitu,
1.  Kerajaan kecil. Kerajaan ini bersifat kepuakan dan tidak mempunyai raja.

2.  Kerajaan besar. Kerajaan ini diketuai oleh raja seperti kerajaan Kashi, Kosala dan Magadha. Raja mengamalkan kuasa mutlak. Kedudukan seseorang raja kemudian diperkukuh dengan pelbagai bentuk upacara ritual yang berasaskan kepercayaan bahawa seseorang raja itu adalah suci dan harus dihormati. Golongan Brahmin yang bertindak sebagai penasihat memainkan peranan penting dan diikuti dengan golongan Ksytria yang menjadi pemerintah tertinggi dan merupakan golongan dominan.



3.  Empayar. Chandragupta Maurya telah membentuk empayar Maurya dengan menyatukan kerajaan-kerajaan kecil di India dari tahun 321 – 185 S.M., dan seterusnya mengubah status raja kepada  maharaja. Empayar Maurya  meliputi kawasan dari teluk Benggala hingga ke Pergunungan Hindu Kush. Ibu negaranya terletak di Pataliputra.

Zaman kegemilangan Dinasti Maurya adalah pada masa pemerintahan Maharaja Asoka, iaitu dari tahun 273 – 232 S.M. Penilaian ini berasaskan kejayaan Asoka menamatkan perang saudara selepas kematian ayahnya, Bindusura, dan menakluki negeri Kalinga yang memiliki penduduk yang ramai di India. Selepas Perang Kalinga, Asoka lebih menekankan kedamaian, kemajuan sosial dan menjalankan penaklukan melalui penyebaran agama Buddha dan tidak lagi menerusi ketenteraan. Walau pun, Asoka merupakan maharaja berkuasa mutlak tetapi beliau membentuk birokrasi pentadbiran untuk menjalankan pemerintahannya.






d.
Terangkan bentuk-bentuk pemerintahan yang diamalkan dalam Tamadun China.
 (Rujuk Buku Teks m.s: 45)



1.  Empayar.
Dalam Tamadun China, perluasan kuasa telah mengubah pemerintahan berbentuk sistem feudal kepada pemerintahan berbentuk sistem pentadbiran berpusat. Perluasan kuasa juga melahirkan empayar pada zaman Dinasti Chin dari tahun 221 – 206 S.M. Konsep raja bertukar kepada maharaja.

2. Birokrasi.
Pemerintahan maharaja membolehkan pembentukan sebuah sistem pentadbiran atau birokrasi awam yang terdiri daripada pegawai yang dilantik oleh maharaja. Mereka yang dilantik terdiri daripada rakyat dan perlantikan tersebut dibuat oleh sebuah jawatankuasa dalam sistem perkhidmatan awam, iaitu Hon Kao Tsu. Perlantikan pegawai ini diasaskan pada pencapaian mereka dalam peperiksaan awam. Sistem ini diwujudkan pada zaman Dinasti Han dan diteruskan oleh dinasti lain. Tokoh penting dalam hal ini ialah Shih Huang Ti.





6.
a.
Jelaskan perkembangan aspek perundangan Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 46-47)



Dewan perhimpunan berfungsi menggubal undang-undang. Kepentingan undang-undang diutarakan oleh Plato dalam bukunya Republic. Menurut Plato, negara harus diperintah oleh ahli falsafah kerana mereka cekap, terbaik dan berupaya menggubal undang-undang.



b.
Jelaskan perkembangan aspek perundangan Tamadun Rom.

Dalam tamadun awal, undang-undang yang digunakan ialah undang-undang  bertulis. Undang-undang Rom yang pertama , ialah Hukum Kanun 12, yang dipahat pada kayu yang dikenali sebagai Papan Dua Belas dan diletakkan di tempat awam untuk tatapan rakyat.  Undang-undang awal ini lahir pada Zaman Republik. Oleh kerana terdapat terlalu banyak undang-undang dan ada antaranya yang rumit, Maharaja Justinian telah mengumpulkan, menyatukan



dan membukukan undang-undang tersebut walau pun pada masa itu terdapat hakim-hakim yang mahir. Usaha beliau ini telah melahirkan Kod Undang-undang Rom pada 527 M, yang juga dikenali Undang-undang Justinian dan inti pati undang-undang tersebut masih kekal sehingga kini.



c.
Jelaskan perkembangan aspek perundangan Tamadun India.



Dalam tamadun India, perundangan merupakan aspek penting untuk melihat perjalanan kerajaan dan keberkesanan pentadbiran. Kitab Dharma Sastra dianggap kitab undang-undang Hindu paling tua. Kitab ini dihasilkan antara abad ke-6 hingga ke-2 S.M.

Raja dipertanggunjawabkan untuk memelihara kesucian dan kedaulatan undang-undang. Segala kesalahan yang dilakukan akan dikenakan tindakan atau denda, bergantung kepada keseriusan kesalahan tersebut. Selain raja, golongan Brahmin menjadi dominan dalam bidang atau urusan undang-undang, kerana mereka mahir tentang hukum-hakam terutama yang berkaitan dengan keagamaan.

Pada zaman Dinasti Maurya, undang-undang maharaja disampaikan sebagai titah dan perintah diraja. Segala perintah diukir pada tiang batu yang didirikan di tepi jalan supaya undang-undang itu dapat dibaca oleh rakyat. Tiang ini dikenali sebagai Tiang Asoka, kerana ia didirikan pada zaman pemerintahannya. Asoka senantiasa berpegang  pada konsep kesejahteraan rakyat dan inilah yang menjadikan pemerintahannya adil.



d.
Jelaskan perkembangan aspek perundangan Tamadun China.



 Dalam tamadun China, sistem perundangannya berteraskan dua prinsip utama, iaitu hukuman berat dan bercorak kolektif. Teras undang-undang ini adalah daripada falsafah legalisme, yang digubal dan diperkenalkan oleh ahli falsafah bernama Han Fei Tzu pada Zaman Dinasti Chin. Mengikut falsafah ini, undang-undang yang tegas dan kukuh dapat mengawal tingkah laku manusia. Dalam menjalankan undang-undang tidak harus wujud rasa belas kasihan. Undang-undang dan penguatkuasaannya harus dipelihara tidak kira dalam apa juga keadaan. Dengan itu, raja mesti memiliki kuasa yang utuh.
Falsafah ini bertentangan dengan undang-undang yang berteraskan ajaran Confucius yang diamalkan pada Zaman Dinasti Han dari tahun 206 S.M. – 8M. Ajaran Confucius menekankan keperluan raja mempunyai pekerti baik dan menjaga keharmonian manusia serta masyarakat.





7.
a.
Huraikan proses perluasan kuasa dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 48-50)



Di Yunani,  bermula dari tahun 800 S.M. kegiatan penaklukan berjalan dengan rancak. Pada zaman pemerintahan Philip II dari Mecedonia, kerajaan Macedonia dan Yunani telah disatukan. Usaha ini diteruskan oleh anaknya, Alexander the Great, yang berjaya meluaskan kawasan takluk Yunani apabila beliau menguasai Parsi, Mesir, Turkistan dan Samarkand. Akhirnya, seluruh kawasan Laut Mediterranean berada di bawah kekuasaannya.

Alexander the Great terlibat dalam penyebaran kebudayaan Hellenistik. Kebudayaan ini merupakan campuran antara kebudayaan Yunani , Parsi dan kebudayaan timur yang lain. Kebudayaan Hellenistik ini tersebar dari kota-kota utama dalam empayar Yunani seperti Syracuse di Itali, Iskandariah dan Antioch. Empayar Yunani berakhir dengan kematian Alexander the Great dan kemunculan Rom.



b.
Huraikan proses perluasan kuasa dalam Tamadun Rom.



Zaman perluasan kuasa Rom bermula dari tahun 27 S.M. iaitu pada zaman pemerintahan Augustus Caesar.  Beliau berjaya menubuhkan sistem empayar yang berbeza daripada sistem republik, iaitu mewajibkan sistem pemerintahan warisan. Pada zamannya, empayar Rom terdiri daripada Britain, Sepanyol, kawasan Sungai Rhine, Danube, Laut Hitam, Pergunungan Atlas, Afrika Utara, Macedonia, sebahagian Turki dan Palestin.



c.
Huraikan proses perluasan kuasa dalam Tamadun India.



Dalam tamadun India, perluasan kuasa berlaku semasa pemerintahan Dinasti Maurya dan bermula pada zaman pemerintahan Chandragupta Maurya dari tahun 321 – 292 S.M. Kejayaan ini disebabkan pasukan tentera Chandragupta yang besar iaitu 600 ekor gajah, 1000 orang tentera berkuda dan 10 000 orang infantri (tentera berjalan kaki), berjaya menguasai seluruh India Utara, menakluk Punjab, menewaskan Seleceus yang memerintah empayar Seleucid di Syria dan kawasan India Barat. Anak Chandragupta,  Bindusura meluaskan empayar ke Mysore di bahagian selatan India.
Kaedah perluasan kuasa berubah apabila Asoka berkuasa.  Asoka tidak menekankan kekuatan ketenteraan sebagai asas untuk memperluas kuasa,pengaruh dan kedudukan Maurya, sebaliknya, menekankan dasar yang lebih lembut dan terbuka. Hal ini dilakukannya dengan memberikan penekanan kepada agama Buddha. Pada zaman Asoka, seluruh India menjadi kawasan takluk empayar Maurya. Keadaan ini berlaku akibat daripada kemenangan Asoka ke atas Kalinga dalam Perang Kalinga.






d.
Huraikan proses perluasan kuasa dalam Tamadun China.



Dalam tamadun China, perluasan kuasa telah membawa kelahiran empayar pada zaman Dinasti Chin, iaitu di bawah pemerintahan Shih Huang Ti yang berjaya menyatukan seluruh kerajaan kecil di China. Shih Huang Ti memerintah secara autokratik, iaitu tegas dan mutlak. Beliau menghapuskan kuasa golongan bangsawan dengan melantik gabenor dan panglima tentera untuk mentadbir. Bagi mempertahankan empayar China daripada serangan orang gasar, beliau telah mengarahkan pembinaan Tembok Besar China.

Kejatuhan Dinasti Chin digantikan dengan Dinasti Han. Pada zaman Dinasti Han kewibawaan Maharaja Han Wu Ti yang digelar Maharaja Tentera berjaya memperluas kawasan takluknya melalui angkatan tentera yang besar dan kuat. Antara kawasan yang ditaklukinya termasuklah Sinkiang, Lembah Tarim dan Tutor di utara, Yang Tze, Kwangsi dan Kwang Tung di selatan. Pada zamannya, pengaruh China telah tersebar ke Jepun dan Turkistan serta keamanan dan kemakmuran negeri China berjaya diwujudkan.





8.
a.
Terangkan peningkatan ekonomi dalam Tamadun Yunani.  (Rujuk Buku Teks m.s: 50-53)

Hampir semua negara kota memberi tumpuan utama kepada aktiviti perdagangan kecuali Sparta. Terdapat peningkatan yang tinggi dalam perdagangan dengan kawasan luar terutamanya melalui jalan laut. Pada permulaannya perdagangan hanya berlaku di antara kawasan pesisir pantai yang berhampiran seperti Mesir, Syria dan Phoenecia.

Akibat kekurangan tanah untuk pertanian, Athens dan Corinth menghadapi masalah kekurangan makanan. Ini menyebabkan negara kota Yunani terpaksa mendapatkan bahan makanan dari luar Athens iaitu dari kawasan di selatannya dan Laut Hitam. Athens juga menjadi pusat pengumpulan barang keperluan yang datang dari Timur.



Bagaimanapun, kegiatan perdagangan ini dikenakan cukai dan keadaan ini menyebabkan kenaikan harga barang. Kesannya, ramai rakyat Yunani berpindah ke tempat-tempat lain seperti Alexandria pada zaman Graeco-Rom, iaitu pada tahun 300 S.M.



b.
Terangkan peningkatan ekonomi dalam Tamadun India.



Dalam tamadun India, aktiviti perdagangan mengalami perkembangan yang sangat pesat sejak abad ke-3 S.M. Aktiviti ini melibatkan perdagangan dalaman, iaitu antara kawasan di dalam wilayah India dan perdagangan luar. Antara pusat perdagangan yang penting, ialah Anga, Kalinga dan Karusa, yang menghasilkan senjata, gading gajah, emas, berlian dan mutiara.Hubungan perdagangan dengan negara luar dapat dilihat melalui hubungan antara kerajaan Maurya dengan Macedonia, Sri Lanka, rantau Asia Tengah dan AsiaTenggara. Antara pelabuhan penting termasuklah Tamralipti, Ghantashala dan Kadura di bahagaian timur dan Broach, Chaul, Kalyan dan Cambay di bahagian barat.

Perkembangan pesat ekonomi ini telah mewujudkan persatuan perdagangan dan perusahaan yang dikenali sebagai sresthin di setiap bandar. Antara persatuan itu ialah, persatuan untuk tukang kayu, tukang logam, tukang kulit dan sebagainya. Matlamat persatuan adalah untuk mengawal harga, kualiti barangan dan gaji pekerja. Undang-undang telah digubal bagi mengawal persatuan dan pelaksanaan undang-undang yang diawasi oleh raja.

Mata wang digunakan sebagai medium jual beli. Semasa zaman Gupta, bentuk mata wang emas digunakan. Penggunaan mata wang ini membuktikan bahawa pemerintah dalam tamadun India seperti Dinasti Maurya dan Gupta telah melaksanakan satu dasar kewangan dan ekonomi yang sistematik.

Aktiviti perdagangan disokong oleh perkembangan dalam sektor perusahaan seperti pengeluaran tekstil, kain kapas dan sutera. Perusahaan membuat sutera berpusat di Bengal dan Benares. Selain itu, perusahaan berasaskan barangan emas, mutiara dan batu permata juga turut berkembang.

Sejak Zaman Maurya, pelbagai jenis cukai dikenakan terhadap pelbagai hasil perdagangan seperti hasil pertanian dan hasil buah-buahan. Cukai itu adalah untuk menyara anggota tentera, para pentadbir dan raja.

Sejak tahun 100 M., perdagangan maritim antara India dengan Alam Melayu telah meningkat pada zaman Gupta.  Pedagang India memperoleh hasil rempah, bedak wangi, gading gajah dan besi dari Alam Melayu,  Tekstil, tembikar, barang kaca dan minyak wangi dari China. Perdagangan maritim dengan Rom dan Sri Lanka juga berkembang.



c.
Terangkan peningkatan ekonomi dalam Tamadun China.



Dalam tamadun China, peningkatan ekonomi berlaku semenjak zaman Dinasti Shang. Antara kemajuan yang dicapai termasuklah kemajuan dalam pertanian, perdagangan dalam negeri dan maritim, perusahaan dan pembentukan persatuan perniagaan.

Dalam bidang pertanian, sejak Zaman Dinasti Han, tenggala diperkenalkan untuk membuat batas tanaman, kolar kuda untuk membolehkan kuda menarik tenggala kayu, kereta kuda dan kereta sorong beroda serta penyisir tanah. Pada zaman Dinasti Tang, Song, Yuan, Ming dan Ching, perkembangan terus meningkat dalam penciptaan alat kegunaan pertanian.Sistem penanaman bergilir diperkenalkan untuk menjaga kesuburan tanah. Kawasan bukit telah diteres untuk pertanian pada zaman Dinasti Shang. Sistem pengairan seperti pembinaan terusan dilaksanakan untuk memperoleh sumber air dalam pertanian terkawal. Kawalan terhadap banjir juga diambil berat dengan menggunakan terusan yang dibina.

Perusahaan logam dan tembikar berkembang pada zaman Dinasti Han lagi. Hasil perusahaan didagangkan ke kawasan di luar China seperti Alam Melayu, India, Timur Tengah dan Barat. Hasil ini, mula-mula dibawa melalui jalan darat, iaitu jalan Sutera Darat dan kemudian melalui Jalan Laut mulai zaman Dinasti Tang. Buktinya terdapat tembikar China di tapak-tapak pelabuhan kerajaan awal di kawasan tersebut. Barangan logam juga didagangkan.

Hasil perusahaan China juga didagangkan di negeri China sendiri. Dinegeri China, muncul persatuan perdagangan yang membawa kepada kelahiran kelas pertengahan yang besar.

Perkembangan ekonomi yang pesat dicetuskan oleh perkembangan dalam sistem perhubungan iaitu pembinaan jalan raya, jambatan dan alat pengangkutan seperti kereta kuda dan kereta lembu.


9.
a.
Terangkan peningkatan pendidikan dalam Tamadun Yunani.   (Rujuk Buku Teks m.s: 53-55)



Di Athens, pendidikan bertujuan untuk melahirkan manusia yang seimbang pencapaiannya dari sudut rohani dan jasmani. Bagi orang Athens, manusia yang cemerlang ialah manusia yang dapat memenuhi tuntutan mental dan fizikal. Hanya manusia yang cemerlang dapat memberikan sumbangan kepada kesejahteraan kehidupan manusia.  Oleh itu, pendidikan, sukan, muzik, kesusasteraan, seni berpidato, membaca, menghafal dan menulis begitu dititikberatkan.

Di Sparta, matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan warganegara tentera yang sempurna, gagah dan setia kepada negara kotanya. Oleh itu, pendidikan di Sparta lebih mementingkan latihan fizikal dan kemahiran menggunakan senjata berbanding dengan pendidikan mental.

Perkembangan pendidikan berlaku apabila banyak sekolah falsafah tumbuh dan berkembang di negara kota seperti Athens, Thebes, Elea dan Miletus.  Athens dikenali sebagai pusat cendikiawan Yunani yang penting semasa pemerintahan Pericles. Sekolah ini telah melahirkan sejarahwan saperti Thucydides dan Herodotus; pemikir dalam bidang sains dan teknologi seperti Thales, Anaximander, Heraclitus dan Anaxagoras.






b.
Terangkan peningkatan pendidikan dalam Tamadun Rom.



Pendidikan menekankan aplikasi ilmu yang praktikal dan semangat setia kepada Rom. Ini menyebabkan Rom terkenal dengan penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam yang berupaya memberikan kesejahteraan hidup kepada masyarakatnya.

Pada peringkat awal, Rom banyak mengambil dan menyerap unsur dari Yunani. Pusat pendidikan dan ilmu berkembang dengan pesat di bandar-bandar di seluruh empayar Rom. Pusat pendidikan ini melahirkan jurutera yang dapat membina sistem pengairan, bangunan dan jalan raya. Pusat ini juga melahirkan ahli falsafah dan sejarahwan yang telah menulis tentang sejarah kegemilangan Rom.



c.
Terangkan peningkatan pendidikan dalam Tamadun India.


Peningkatan dalam bidang pendidikan bermula pada Zaman Vedik. Pendidikan sangat mementingkan keagamaan dan agama Hindu menjadi terasnya.  Pendidikan hanya untuk golongan lelaki. Wanita tidak mempunyai ruang untuk menerima pendidikan. Pendidikan memberikan perhatian kepada pembelajaran kitab-kitab Veda. Bahasa Sanskrit merupakan medium pengajaran yang penting. Kaedah hafalan digunakan untuk mendalami kitab-kitab Veda tersebut.

Pendidikan yang berteraskan agama Hindu dan Buddha adalah untuk menyediakan manusia menghadapi hari selepas mati. Maka, tumpuan pendidikan ialah agama. Segala hukum agama harus dipelajari supaya mereka dapat hidup dengan sempurna dengan nilai-nilai murni yang diajar oleh agama. Pendidikan tinggi telah diberikan di Kolej Brahman dan bermula selepas tahun 100 S.M. Sebelum lahir Kolej Brahman, pendidikan diberikan di istana dan di rumah. Pada abad ke-4 M, lahir universiti agama Buddha, iaitu Nalanda. Untuk mencapai taraf sebagai Brahmin yang berpendidikan, seseorang harus menghafal pelbagai buku agama khususnya Veda yang mengandungi peraturan ritual, mantera dan lagu-lagu agama. Selain itu, mereka juga harus mempelajari karya saintifik dan falsafah. Oleh itu, pendidikan juga untuk meningkatkan ilmu sains.

Pada zaman seterusnya, pendidikan bertujuan untuk menambahkan ilmu, mengatasi buta huruf
dan mendapatkan jawatan dalam pentadbiran.



d.
Terangkan peningkatan pendidikan dalam Tamadun China.



Masyarakat China menghargai pendidikan, perniagaan dan kesusasteraan dengan matlamat utama pendidikan adalah untuk lulus peperiksaan awam kerajaan. Terdapat tiga peringkat pendidikan iaitu, pendidikan rendah, menengah dan tinggi. Pada peringkat sekolah rendah, pendidikan tertumpu pada kegiatan mengenal dan menghafal tulisan ideogram dan sembilan buah buku suci tanpa memahami maknanya. Pada peringkat menengah, tumpuan adalah terhadap karangan dan sastera. Peringkat tinggi pula tumpuan adalah untuk menterjemah buku suci.

Pendidikan lebih menjurus kepada kepentingan pentadbiran. Peperiksaan awam mengandungi tiga tahap, iaitu tahap pertama Hsui Tai, tahap kedua Chun-Jen, dan tahap ketiga Chin Shih. Tahap pertama setaraf dengan ijazah pertama, tahap kedua setaraf dengan sarjana dan tahap ketiga setaraf dengan doktor falsafah seperti yang terdapat pada zaman moden ini. Peperikasaan tahap pertama dijalankan di daerah, tahap kedua di ibu kota daerah dan tahap ketiga di ibu kota empayar yang bertempat di istana, iaitu di hadapan maharaja. Mereka yang lulus tahap atau ijazah pertama akan berpeluang menjadi pegawai kerajaan dan tahap ketiga layak menjadi pendidik. Peperiksaan tahap pertama diadakan dua kali dalam tempoh tiga tahun, sementara peperiksaan tahap kedua dan ketiga diadakan tiga tahun sekali. Sistem peperiksaan awam ini, merupakan yang tertua di dunia.





10.
a.
Terangkan peningkatan bidang falsafah dalam Tamadun Yunani.   (Rujuk Buku Teks m.s: 53-57)

Tamadun Yunani terus meningkat dengan kelahiran ahli-ahli falsafah seperti Herodutus, Socrates, Aristotle dan Plato. Persoalan tentang nilai individualisme, kehidupan manusia dan demokrasi merupakan isu utama. Herodutus menghasilkan karya,  History of Persian Wars merupakan Bapa Sejarah. Thucydides dianggap sebagai Pengasas Sejarah Saintifik dengan karyanya, History of Peloponnesian War. Beliau menggunakan pendekatan penulisan sejarah yang berteraskan penyelidikan.



b.
Terangkan peningkatan bidang falsafah dalam Tamadun Rom.


Oleh sebab tamadun Rom tidak mempunyai ramai ahli falsafah, maka tamadun ini banyak mengambil falsafah daripada Yunani. Falsafah Rom diasaskan daripada falsafah stoik atau stoisisme seorang ahli falsafa Yunani, iaitu Zeno. Falsafah ini mengajar bahawa kebahagian hidup manusia dan nasib seseorang bergantung pada hubungannya dengan alam. Stoisisme menekankan keadilan, tanggungjawab, keperibadian dan peri kemanusiaan. Ahli-ahli falsafah Yunani mengajar manusia untuk berfikir secara rasional dan mengamalkan sikap ingin tahu.
Plato dalam karyanya, Repubilc membincangkan bahawa sesebuah masyarakat dan negara paling baik diperintah oleh ilmuan dan ahli falsafah. Aristotle yang menjadi guru kepada Alexander the Great dalam karyanya membincangkan cara berfikir yang teratur.






c.
Terangkan peningkatan bidang falsafah dalam Tamadun India.


Falsafah India merupakan falsafah yang terawal berkembang dan direkodkan di dunia.  Wujud dalam dua bentuk pemikiran yang besar, iaitu kumpulan yang bersumberkan kitab Veda dan yang menolak kitab Veda. Kitab Veda terdiri daripada, Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda. Upanishad (700 – 600 S.M.), Mahabhrata dan Bhagavad Gita merupakan antara sumber falsafah yang terdapat dalam Veda. Sementara falsafah bukan aliran Veda bersumberkan ajaran Carvaka, Janisme dan Buddhisme.



d.
Terangkan peningkatan bidang falsafah dalam Tamadun China.


Falsafah China memberikan penekanan kepada hal berkaitan manusia, iaitu hubungan manusia dengan manusia lain. Antara sumber falsafah China termasuklah Kung-fu Tze atau Confucius dengan ajarannya, iaitu Confucianisme, Lao Tze, Taoisme dan Mo Tzu.
Mo Tzu dikenali juga sebagai Motze atau Mencius. Mo Tzu menolak beberapa ajaran dalam Confucianisme dan memikirkan cara hendak melahirkan masyarakat dan politik yang baik. Beliau berpendapat manusia berakhlak baik dan manusia menjadi sebaliknya kerana pengaruh alam sekitar. Satu lagi falsafah China ialah aliran legalisme. Falsafah ini percaya bahawa hanya undang-undang dapat mewujudkan nilai baik dan ketertiban masyarakat.





11.
a.
Terangkan peningkatan bidang sains dan teknologi dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 57-58)




Tokoh matematik Yunani, iaitu Thales telah mengembangkan ilmu geometri Mesir Purba. Pythagoras yang memperkenalkan Teorem Pythagoras mengembangkan ilmu geometri Mesir Purba dan Babylon.
Selain itu, ahli sains yang lain seperti Hippcrates terkenal sebagai Bapa Perubatan dan Archimedes sebagai ahli matematik dan fizik. Sumbangan Archimedes ialah teori berhubung dengan isi padu air dan graviti. Ptolemy merupakan tokoh utama dalam bidang astronomi.
Sistem angka yang wujud dalam tamadun Yunani dikenali sebagai herodianic dan ionic.



b.
Terangkan peningkatan bidang sains dan teknologi dalam Tamadun Rom.




Boethius, ahli matematik Rom. Asas matematik beliau diambil daripada tamadun Yunani, yang mengaitkan matematik dengan muzik, geometri dan astronomi.



c.
Terangkan peningkatan bidang sains dan teknologi dalam Tamadun India.


Dalam tamadun India, sains dan teknologi ialah cabang kepada pengetahuan Vedik. Pengetahuan tentang astronomi dapat dipetik daripada Rig Veda.

Ilmu matematik yang wujud dalam tamadun India berkembang pesat pada Zaman Gupta. Ahli matematik telah mengetahui tentang konsep geometri dan memperkenalkan sistem nombor, iaitu angka Brahmin dan angka Kharosti.

Ilmu perubatan juga berkembang disebabkan kecenderungan masyarakatnya dalam fisiologi kerana kaitannya dengan yoga.



d.
Terangkan peningkatan bidang sains dan teknologi dalam Tamadun China.


Tamadun China menganggap astronomi sebagai ilmu sains negara.
Konsep keseimbangan antara dua kuasa iaitu Yang (kuasa aktif) dan Yin (kuasa pasif) membolehkan seseorang berkeadaan sihat digunakan dalam asas perubatan tradisional tamadun China.

Peningkatan besar dalam tamadun manusia ialah penciptaan teknologi membuat kertas, tembikar, perahu dan kapal layar. Teknologi ini menyumbang kepada peningkatan perhubungan antara sebuah kawasan dengan sesebuah kawasan yang lain dan antara sebuah negara dengan sebuah negara lain. Ilmu pelayaran juga telah meningkat dengan penciptaan layar yang lebih kuat dan perahu yang lebih besar. Hal ini juga telah meningkatkan aktiviti perdagangan laut dan menjadi alat pengangkutan penting dalam peperangan terutamanya pada zaman perluasan kuasa dan pembentukan empayar Rom.







SENI BINA
Seni bina mencerminkan ketahanan manusia dalam tamadun awal menghadapi cabaran untuk menghasilkan monumen yang dapat diabadikan sebagai pencapaian yang paling agung demi bangsa, agama dan rajanya. Segalanya dicapai  kerana wujud kepimpinan yang berwibawa dan kuat yang dapat menyatupadukan rakyat dan meningkatkan jati diri mereka serta meyakini bahawa usaha mereka akan mencapai kejayaan, iaitu binaan yang agung seperti arcopolis, aqueduct, colloseum, parthenon, pantheon dan Tembok Besar China.

Setiap binaan mempunyai fungsi yang penting kepada negara dan raja. Contohnya, aqueduct adalah untuk bekalan air di Rom, Tembok besar China adalah untuk pertahanan di China, dan Stupa Besar di Sanchi, India adalah untuk tujuan keagamaan.




12.
a.
Terangkan peningkatan bidang seni bina dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 59-61)



Di Yunani, pembinaan acropolis oleh Pericles adalah untuk tujuan keagamaan dan sebagai pusat kegiataannya. Ini menunjukkan yang berlaku peningkatan dari seni binanya, iaitu daripada binaan piramid dan zigurat pada zaman Mesopotamia dan Mesir Purba. Hal ini kerana terdapatnya elemen baru yang terdapat pada binaan tersebut, contohnya, bentuk bangunan yang lebih sempurna dengan ukiran yang unik berunsur keagamaan dan mempunyai nilai estetik, misalnya pembinaan arcopolis  di Yunani.



b.
Terangkan peningkatan bidang seni bina dalam Tamadun Rom.



Aqueduct  ialah saluran air pada zaman tamadun Rom. Bekalan air dibawa dari sumbernya di gunung melalui saluran air tersebut. Aqueduct yang paling panjang adalah di Marcia, iaitu 91 kilometer dan air disalurkan melalui saluran dalam tanah dan saluran dalam pintu gerbang (arches). Teknologi aqueduct  adalah berasaskan sistem graviti.



c.
Terangkan peningkatan bidang seni bina dalam Tamadun India.


Sejak zaman tamadun Indus lagi, masyarakat India berupaya membina binaan yang sangat baik dan lengkap. Hal ini dapat dilihat pada binaan Great Bath.  Oleh sebab kehidupan masyarakat sangat erat hubungannya dengan agama, maka bidang seni bina turut berkembang berdasarkan atau berunsurkan keagamaan.Binaannya berteraskan agama Buddha dan Hindu seperti kompleks kuil di Gua Ajanta. Kompleks ini mempunyai 20 buah kuil. Sementara kompleks kuil di Gua Ellora mempunyai 28 buah kuil-gua dan dibina antara abad kelima hingga abad kelapan Masihi. Dalam melihat seni bina Buddha, antara perkara penting yang diperhatikan termasuklah penggunaan elemen geometri, iaitu bentuk segi empat dan bulat. Dalam tamadun India, terdapat menara pelbagai bentuk seperti kon, kubah dan pagoda.



d.
Terangkan peningkatan bidang seni bina dalam Tamadun China.


Tamadun China mempunyai reka bentuk seni bina yang agak berlainan daripada tamadun lain. Seni bina penting ialah Tembok Besar China. Tembok ini dibina sejak zaman Dinasti Chou dan diteruskan oleh dinasti berikutnya. Tembok ini dibina sepanjang 1500 batu dari Kansu ke Peking. Bandar-bandar China purba seperti Changan, Anyang, peking dan Loyang dibina dengan rekaan yang mempunyai tembok batu. Tembok-tembok di kawasan bandar lain dibuat daripada tanah liat dan batu bata. Malahan di kampung-kampung juga terdapat tembok biarpun dibina daripada tanah lumpur. Setiap tembok terdapat pintu gerbang yang dikelilingi oleh parit yang besar dan menara.


Kawasan di dalam tembok, menempatkan kediaman maharaja. Salah sebuah istana maharaja yang masih kekal sehingga kini ialah Kota Larangan. Istana ini mempunyai banyak dewan dan taman. Dewan berfungsi sebagai balai penghadapan, tempat hukuman, keraian, dan perjumpaan. Sebuah lagi binaan penting ialah kuil dan pagoda. Kuil-kuil ini terdiri daripada beberapa buah bangunan yang merangkumi tempat tinggal, ruang tetamu dan pusat pemujaan. Namun, bentuk ini hanyalah untuk kuil yang besar, pagoda berar, pagoda berbentuk meninggi sehingga 15 tingkat. Pagoda mempunyai bentuk oktagon atau segi empat sama.  Walau bagaimanapun, bentuk ini tidak tetap bagi semua binaan dan tempat.Dalam tamadun China, terdapat pelbagai jenis pintu gerbang, tembok dan jambatan.



13.
a.
Terangkan peningkatan bidang bahasa dan kesusasteraan dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 61-62)



Bahasa Yunani dugunakan di wilayah dalam Yunani dan kawasan takluk Alexander the Great. Antara tokoh sastera Yunani yang terkenal ialah Homer dan Hesiod. Hesiod ialh penyair dan menulis dua buah buku puisi , iaitu Iliad dan Odyssey.



b.
Terangkan peningkatan bidang bahasa dan kesusasteraan dalam Tamadun Rom.


Dalam tamadun Rom, terdapat dua orang penulis dan penyajak, iaitu Cicero (106 – 43 S.M.) dan Virgil (70 – 19 S.M.). Kesusasteraan Rom umumnya bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotisme. Sastera Rom mencapai zaman keagungannya semasa pemerintahan Augustus Caesar (27 – 14 S.M.).



c.
Terangkan peningkatan bidang bahasa dan kesusasteraan dalam Tamadun India.


Masyarakat tamadun India berkembang daripada dua kelompok yang berbeza, iaitu Dravidia dan Indo-Arya. Kedua-dua kelompok ini mempunyai budaya dan bahasa yang berbeza.  Bagi masyarakat Dravidia di bahagian selatan India, bahasanya adalah seperti Telegu, Malayalam, Kannada dan sebagainya. Bagi masyarakat Indo-Arya pula, bahasa dasarnya ialah bahasa Sanskrit yang kemudiannya melahirkan bahasa Hindi, Urdu, Punjabi, Kasmiri dan sebagainya. Bahasa utama pada Zaman Vedik ialah bahasa Sanskrit. Perkembangan bahasa ini secara langsung mempengaruhi perkembangan dalam bidang penulisan dan kesusasteraan. Bidang kesusasteraan terbahagi kepada bentuk Vedik, epik dan sajak.

Tamadun India turut menghasilkan sastera agama Hindu dan Buddha, antaranya termasuklah epik Mahabharata dan Ramayana. Mahabharata  menceritakan peperangan antara dua tentera, iaitu yang baik dan yang jahat. Ramayana pula ialah cerita inkarnasi Dewa Vishnu sebagai Rama dan pergaduhannya dengan raja Sri Lanka yang melarikan isterinya, Sita. Bahasa persuratan tamadun ini ialah Sanskrit.




d.
Terangkan peningkatan bidang bahasa dan kesusasteraan dalam Tamadun China.


Perkembangan bahasa dalam tamadun China kurang jelas.  Yang nyata wujud tujuh dialek utama di China, iaitu Mandarin, Wu, Hunanis, Kiangsi, Hakka, Kantonis dan Fukien.

Peningkatan sastera berkembang dengan sokongan pihak kerajaan. Semasa Dinasti Han, Ssu-ma Chein telah mempertingkatkan bidang sastera prosa dengan karya yang bertajuk Shih Chi. Hasil karya beliau banyak menceritakan sosial, sejarah, kerajaan, pemimpin dan beberapa aspek ilmu pengetahuan, dan ini menjadi ikutan dinasti seterusnya. Dalam bidang puisi muncul tokoh seperti Tu Fu, Li Po dan Po Chu-i, iaitu semasa Dinasti Tang.

Sastera China pada zaman Dinasti Han meliputi sajak dan cerpen. Seseorang yang terpelajar harus mampu bersajak untuk melahirkan pengetahuan dan pemikirannya.




Kesusasteraan yang lahir bukan sahaja untuk kepentingan pemerintah tetapi juga rakyat dan kebanyakan karya adalah untuk menyampaikan mesej kepada rakyat.
Aspek tulisan juga turut mengalami peningkatan. Tulisan yang kita warisi pada hari ini berasal daripada tulisan orang Phoenecia. Tulisan ini tersebar kepada orang Yunani pada tahun 800 S.M. Dalam Tamadun Yunani, tulisan itu ditambah huruf vokal. Tulisan itu diubahsuai oleh orang Rom dan menjadi tulisan Rom dan tersebar ke Barat sehingga sampai kepada masyarakat Asia Tenggara dalam bentuk tulisan rumi.





14.
a.
Terangkan peningkatan sistem sosial dalam Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 62-63)
Organisasi sosial masyarakat dalam tamadun Yunani di Athens membahagikan penduduknya kepada tiga kumpulan. Yang pertama ialah warganegara,  yang kedua ialah penduduk bukan warganegara dan yang ketiga ialah golongan hamba. Kumpulan pertama mempunyai hak dalam politik negara kota sementara golongan kedua dan ketiga tidak memiliki hak tersebut.




Di Sparta terdapat tiga kelas sosial. Kelas pertama ialah warganegara Sparta tulen. Kelas kedua ialah para pekerja, artisan dan pedagang. Kelas ketiga ialah Helot yang mengusahakan tanah dan merupakan golongan majoriti.



b.
Terangkan peningkatan sistem sosial dalam Tamadun Rom.


Di Rom sistem sosial dibahagikan kepada warganegara Rom, bukan warganegara dan hamba. Warganegara Rom merupakan mereka yang terdiri daripada orang Rom dan bukan warganegara ialah penduduk yang ditakluki.




c.
Terangkan peningkatan sistem sosial dalam Tamadun India.


Dalam tamadun India, sistem sosialnya mewujudkan sistem kasta. Sistem ini merupakan sebuah institusi yang sangat unik dan tidak ditemui dalam mana-mana tamadun dunia yang lain. Sistem ini mempunyai empat kasta utama, iaitu Brahmin, Ksytria, Vaisya dan Sudra. Keempat-empat kasta ini mempunyai tanggungjawab yang berbeza. Sistem kasta telam menjadi darah daging kepada sistem sosial India dan ia diikuti dengan ketat. Berdasarkan sistem ini, seseorang lelaki tidak boleh mengahwini wanita daripada kasta yang berbeza dan tidak boleh bercampur gaul dengan ahli kasta yang berbeza.



d.
Terangkan peningkatan sistem sosial dalam Tamadun China.


Masyarakat China pada dasarnya terbahagi kepada tiga kelas utama. Golongan pertama ialah golongan atasan yang terdiri daripada lapisan pentadbir seperti maharaja, keluarganya, pegawai bangsawan dan sida-sida. Kumpulan kedua terdiri daripada rakyat bawahan, iaitu golongan petani dan artisan. Golongan ketiga ialah golongan hamba. Kumpulan kedua dan ketiga merupakan kumpulan sokongan kepada kumpulan pertama.

Confucius pula membahagikan masyarakat China kepada empat kelas utama. Golongan teratas ialah golongan sarjana. Mereka terdiri daripada pegawai kerajaan yang berpendidikan. Yang kedua ialah golongan petani dan merupakan tulang belakang kepada ekonomi China.



Kumpulan ketiga ialah golongan tukang. Kumpulan paling bawah ialah pedagang. Namun begitu, strata masyarakat China ini bukannya sesuatu yang bersifat tegar. Setiap individu di China boleh menukar kelasnya kepada kedudukan yang lebih baik menerusi pendidikan.





15.
a.
Terangkan sumbangan Tamadun Yunani. (Rujuk Buku Teks m.s: 63-64)



Tamadun Yunani telah mewariskan sistem pemerintahan berbentuk demokrasi. Dalam sistem demokrasi itu, rakyat terlibat dalam membuat keputusan politik. Rakyat terlibat secara langsung dalam pemerintahan kerajaan, oleh itu, kerajaan berbentuk demokrasi disifatkan sebagai kerajaan rakyat. Sistem ini diamalkan di kebanyakan negara di dunia pada hari ini. Walaupun sistemnya sama, iaitu demokrasi tetapi wujud perbezaan dalam amalannya. Contohnya, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berbentuk demokrasi berparlimen.
Ilmu falsafah seperti legalisme, stoicisme masih dijadikan rujukan.

Teknologi pembinaan aqueduct, merupakan warisan yang dikagumi dan berharga sebagai sumber pelancongan dan juga sumber contoh seni bina.



b.
Terangkan sumbangan Tamadun Rom.


Tamadun Rom pula mewariskan sistem republik kepada tamadun dunia. Dalam sistem republik pemerintahan dikuasai oleh dua orang konsul. Pelantikan dua orang konsul itu bertujuan untuk mengimbangkan kuasa. Konsul dibantu oleh Dewan Senat manakala Dewan Senat pula dibantu oleh Dewan perhimpunan yang diwakili oleh rakyat. Sistem ini diamalkan di India, Perancis dan Afrika Selatan. Namun, sistem republik moden ini berbeza daripada sistem republik Rom. Walau bagaimanapun, darisegi konsep, sistemnya hampir sama dengan sistem republik Rom yang mengandungi unsur demokrasi kerana rakyatnya juga terlibat dalam pemilihan ketua negara, iaitu presiden.

Falsafah Aristotle, Socrates dan Plato juga masih dijadikan rujukan oleh ahli falsafah moden.
Teknologi pembinaan colloseum, pantheon, merupakan warisan yang dikagumi dan berharga sebagai sumber pelancongan dan juga sumber contoh seni bina.



c.
Terangkan sumbangan Tamadun India.


Teknologi pembinaan Stupa di Sanchi, candi dan pagoda merupakan warisan yang dikagumi dan berharga sebagai sumber pelancongan dan juga sumber contoh seni bina.



d.
Terangkan sumbangan Tamadun China.


Teknologi pembinaan Tembok Besar China  merupakan warisan yang dikagumi dan berharga sebagai sumber pelancongan dan juga sumber contoh seni bina.
Tamadun China juga mewariskan teknologi membuat kertas dan tembikar.





Setiap tamadun juga meninggalkan hasil sastera yang masih dijadikan rujukan hingga ke hari ini seperti Iliyad, Odyssey, Mahabharata dan Ramayana. Malahan tamadun China meninggalkan rekod sejarah dalam bentuk ensiklopedia, kisah perjalanan dan maklumat geografi yang dapat digunakan sebagai sumber sejarah.

Bahasa Latin dan Sanskrit merupakan bahasa penting yang berkaitan dengan agama dan kesusasteraan. Bahasa ini masih dipakai dalam hal keagamaan, contohnya bahasa Latin untuk agama Kristian dan bahasa Sanskrit untuk agama Hindu dan Buddha.
Dari segi sosial, sumbangan tamadun awal yang ketara adalah dalam bidang pendidikan, falsafah dan sains dan teknologi. Sistem pendidikan yang wujud diteruskan dan diubahsuai jika perlu. Contoh yang jelas ialah sistem peperiksaan. Falsafah yang muncul dalam tamadun awal dijadikan asas kepada falsafah zaman moden khususnya falsafah yang terdapat pada zaman Yunani.  Sains dan teknologi yang berkaitan dengan matematik, astronomi, fizik, perubatan dan seni bina khususnya, beberapa teori matematik seperti Teorem Pythagoras dan Teori Archimedes masih diguna pakai.

Tamadun awal juga menyumbang kepada kelahiran Sukan Olimpik.  Sukan ini diperkenalkan pada zaman Yunani iaitu pada tahun 776 S.M. Pertandingan itu diadakan di Olympia. Pertandingan antara negara kota dibuat empat tahun sekali itu bertujuan untuk menghormati Tuhan Zeus. Perbezaan antara Sukan Olimpik asal dengan Sukan Olimpik moden adalah dari segi tujuan organisasi dan bilangan peserta serta acara yang dipertandingkan bertambah berlipat ganda.






Agama merupakan keperluan utama dalam pembentukan dan peningkatan tamadun. Secara umum, agama ialah suatu kepercayaan atau ajaran yang dianut oleh seseorang. Agama merupakan pedoman untuk membimbing manusia kearah kehidupan yang sempurna,  justeru, lahirlah agama dan ajaran untuk memenuhi keperluan manusia.

Di India lahir agama Hindu dan kemudian agama Buddha. Di China lahir Conficianisme dan Taoisme. Di Palestin muncul agama kristian dan pada tahun 610 M. lahir agama Islam di Makkah.

16.
a.
Jelaskan struktur agama Hindu.     (Rujuk Buku Teks m.s: 65)


Perkataan Hindu pada mulanya digunakan untuk merujuk masyarakat yang tinggal di Sungai Sindhu (Indus). Sejarah kemunculan agama ini sukar dipastikan. Meskipun demikian, agama ini muncul sejak zaman tamadun Indus lagi.

Struktur agama ini semakin jelas pada Zaman Vedik terutamanya apabila wujud kitab suci Veda yang menjadi kitab kepada agam ini. Agama ini percaya bahawa Tuhan mempunyai tiga fungsi utama, iaitu mencipta (Brahman), memelihara (Vishnu) dan membinasa (Siva). Agama ini mempunyai enam aliran iaitu Saivisme, Vaishnavisme, Sakhtam, Ganapathyam, Kaumaram dan Saura.










b.
Huraikan perkembangan agama Hindu.

Sejak zaman empayar Maurya, antara tahun 320 – 181 S.M. agama ini telah menjadi agama penting dan memaparkan dominasi golongan Brahmin. Meskipun demikian, agama ini telah menerima saingan daripada agama Buddha terutamanya semasa pemerintahan Chandragupta Maurya dan Asoka. Kegemilangan agama Hindu muncul pada masa empayar Gupta, antara tahun 320 – 520M.


c.
Apakah Hukum Karma?
Penganut agama Hindu mempercayai Hukum Karma yang bersabit dengan kelakuan manusia semasa hidup dan kelahiran semula selepas mati. Kelahiran semula bergantung pada Karma dan tujuan hidup adalah untuk mencapai Moksya, iaitu kebebasan mutlak. Sesiapa yang

mencapai tahap ini akan bersatu dengan Tuhan dan tidak akan lahir lagi ke dunia. Oleh itu, seseorang perlulah berbuat baik semasa hidupnya agar Moksya dapat dicapai.



17.
a.
Terangkan kemunculan agama Buddha. (Rujuk Buku Teks m.s: 65-66)


Agama ini diasaskan oleh Siddharta Gautama yang dikenali oleh penganutnya sebagai Buddha. Kemunculan agama ini dirujuk sebagai satu penentangan golongan Ksytria terhadap dominasi Brahmin dalam soal agama dan kehidupan. Sistem kasta yang tegar dianggap menjadikan masyarakat tidak teratur. Hal ini memberikan kesedaran kepada Gautama Buddha untuk mencari kebenaran. Gautama Buddha menemui kebenaran sewaktu bertapa di bawah pokok bodhi  di sebuah kampung barnama Uruveda. Kebenaran yang ditemui oleh Gautama dipercayai akan melepaskan diri manusia daripada kesengsaraan.


b.
Terangkan asas kepercayaan dalam agama Buddha.

Asas ajaran Buddha termasuklah empat kebenaran mulia yang dapat dicapai melalui lapan jalan. Empat kebenaran mulia dalam agama Buddha ialah
     i.   Dukka atau penderitaan.
    ii.   Samudaya atau sebab penderitaan.
   iii.   Nirodha, iaitu nafsu yang membawa penderitaan, dan
   iv.   Marga, iaitu cara memadamkan nafsu dan keinginan.








Manakala, lapan jalan dalam agama Buddha ialah
i.     Kepercayaan yang betul
ii.    Tujuan yang betul
iii.   Pertuturan yang baik
iv.   Perbuatan yang baik
v.    Hidup yang  baik
vi.   Usaha yang baik
vii.  Fikiran yang baik
viii. Renungan yang baik.


c.
Huraikan perkembangan agama Buddha.

Agama Buddha mencapai kegemilangannya pada zaman pemerintahan Asoka. Pada zaman ini, Buddha bukan sahaja menjadi agama rasmi kerajaan Maurya tetapi juga mengalami perkembangan pesat kesan daripada dasar penghantaran mubaligh keluar negara. Agama Buddha telah diterima dengan baik di Tibet, Sri Lanka, negeri-negeri Asia Tenggara dan China. Agama Buddha juga menggunakan bahasa Pali dan kitab Tripitaka dianggap sebagai kitab suci. Kitab Tripitaka mengandungi Sutta Pitaka, Vinaya Pitaka dan Abhidhamma Pitaka.



18.
a.
Terangkan kemunculan agama Kristian.   (Rujuk Buku Teks m.s: 66)


Agama Kristian dikatakan telah diasaskan oleh Jesus Christ yang berasal dari Jerusalem. Tarikh 25 Disember dianggap sebagai tarikh lahir Jesus dan diraikan setiap tahun oleh penganut agama Kristian sebagai Hari Natal. Old Testament dan New Testament merupakan dua kitab suci dalam agama Kristian dan dikenali sebagai Bible. Dalam proses perkembangannya di Eropah, penganut agama ini terpaksa mengharungi pelbagai halangan dan rintangan termasuk tentangan daripada pemerintah Rom sendiri. Akhirnya agama ini telah berjaya bertapak kukuh dan mempunyai pengikut yang ramai di Eropah. Majoriti ahli masyarakat Eropah sebelum kedatangan agama Kristian merupakan pagan (merujuk kepada
orang yang tidak mempercayai atau menganut sebarang agama utama dunia).


b.
Huraikan perkembangan agama Kristian

Agama Kristian mula mendapat tempat di Eropah pada Zaman Rom, iaitu semasa pemerintahan Constantine antara tahun 280 – 337 S.M. Constantine telah mengiktiraf agama Kristian sebagai salah satu ajaran yang bebas untuk dipraktikkan oleh masyarakat Rom selain yang diamalkan oleh pagan. Bagi individu yang terlibat dengan perancangan dan kegiatan agama, mereka akan dikecualikan daripada dikenakan kerja berat. Hari Ahad telah dikhaskan sebagai hari untuk melakukan sebarang aktiviti agama yang berkaitan. Hal ini menyebabkan agama Kristian terus subur pada Zaman Rom hingga Rom dikenali sebagai Empayar Kristian. Malah, keruntuhan empayar Rom (Barat) pada lewat abad kelima Masihi tidak membawa maksud agama ini terus lenyap ditelan zaman. Sebaliknya, agama Kristian mengukuhkan kedudukannya dalam kerangka kehidupan sosial, ekonomi dan politik pada zaman pertengahan di Eropah.



19.
a.
Terangkan kemunculan agama Islam.   (Rujuk Buku Teks m.s: 66-67)


Agama ini diwahyukan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W. pada 6 Ogos tahun 610 M, bersamaan 17 Ramadan melalui malaikat Jibril di Gua Hira. Bermula dari saat itu, baginda mula menyebarkan ajaran Islam. Dalam proses penyebaran Islam ini berlaku tentangan daripada orang Quraisy Makkah. Untuk melindungi Islam daripada terus ditekan, baginda menerima jemputan untuk berhijrah ke Madinah pada 12 September tahun 622 M, bersamaan 1 Rabiuawal. Bermula di Madinah Islam mendapat tapak baru untuk berkembang. Selepas itu, Islam bukan sahaja disebarkan di Tanah Arab  malah hingga ke seluruh dunia.


b.
Nyatakan teras agama Islam


Terdapat dua teras dalam agama Islam, iaitu akidah dan syariah. Akidah merupakan keyakinan seluruh jiwa terhadap keesaan Allah. Syariah pula ialah undang-undang yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah (hadis) yang menjadi petunjuk kepada umat Islam.

Kesimpulannya, orang Islam wajib meyakini Rukun Iman (yang mempunyai 6 teras utama iaitu, 1. Percaya kepada Allah S.W.T.; 2.Percaya kepada malaikat; 3. Percaya kepada kitab-kitab; 4. Percaya kepada para nabi dan rasul; 5. Percaya kepada hari kiamat dan 6. Percaya kepada qadha dan qadar.)  dan

Rukun Islam (yang mempunyai 5 teras utama iaitu; 1. Pengakuan “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah”.; 2. Wajib menunaikan solat lima waktu sehari semalam; 3. Wajib berzakat; 4. Wajib berpuasa pada bulan Ramadan; 5. Menunaikan fardu haji di Makkah bagi yang mampu).



20.
a.
Terangkan kemunculan ajaran Confucianisme.    (Rujuk Buku Teks m.s: 67)


Ajaran ini diasaskan oleh Confucius yang lahir pada sekitar tahun 551 S.M. di negeri Lu (di Shantung). Beliau pernah menjadi pegawai kerajaan negeri Lu. Namun demikian, beliau telah meletakkan jawatan dan terus mengembara untuk menyebarkan ideanya kepada penduduk China. Masyarakat China telah menjadikan ajaran ini sebagai kepercayaan dan tokoh Confucius disembah sebagai salah satu dewa penting dalam masyarakat China.


b.
Apakah prinsip yang terdapat dalam ajaran Confucianisme.

Ajaran ini menekankan prinsip moral yang tinggi seperti perikemanusiaan (ren), kesusilaan (li) dan ketaatan kepada ibu bapa (xiao). Untuk mencapai ketinggian moral ini, seseorang itu haruslah mendapat pendidikan. Prinsip moral ini juga harus dipertegaskan kepada semua lapisan masyarakat.



21.
a.
Terangkan kemunculan ajaran Taoisme.    (Rujuk Buku Teks m.s: 67-68)


Ajaran ini muncul agak lewat berbanding dengan ajaran Confucius di China. Pengasas kepada ajaran ini ialah Lao Tze. Beliau lahir di negeri Chu pada sekitar tahun 604 S.M. Beliau juga pernah bekerja di negeri Chou. Seperti Confucius, Lao Tze juga telah mengembara ke luar untuk menyebarkan pengaruhnya. Beliau telah menghasilkan buku yang bertajuk Tao Te Ching yang  mengandungi idea falsafah Taoisme. Taoisme pada salnya berbentuk falsafah tetapi kemudiannya menjadi ajaran berbentuk agama.


b.
Apakah dasar yang terdapat dalam ajaran Taoisme.

Dasar ajaran ini lebih menumpukan konsep Tao yang bermaksud jalan. Setiap tindakan akan ditentukan oleh Tao. Oleh sebab itu, manusia tidak harus bertindak terhadap apa-apa yang berlaku. Keadaan ini dirujuk oleh Tao sebagai tidak mengambil sebarang tindakan atau wu-wei. Jika manusia bertindak, maka, perkara ini adalah bertentangan dengan prinsip wu-wei dan akan merosakkan dunia. Oleh sebab itu Lao Tze tidak menyetujui bahawa manusia boleh mengubah sesuatu ke arah kebaikan.



22.
a.
Apakah nilai yang dapat kita pelajari dalam kemajuan dan peningkatan tamadun-tamadun ini. (Rujuk Buku Teks m.s: 68)


1.      Peningkatan tamadun berlaku kerana meningkatnya perkembangan dalam bentuk pemikiran dan kemahiran. Perkembangan pemikiran dilihat dari aspek pencapaian dalam ilmu falsafah, sistem pendidikan, kesenian, kesusasteraan, keagamaan, dan sains dan teknologi. Perkembangan kemahiran adalah berbentuk kebendaan dan dilihat dalam warisan seni bina seperti colloseum, aqueduct, Tembok Besar China, dan Stupa di Sanchi, India.
2.      Manusia sentiasa inovatif dan sentiasa berusaha membaiki dan meningkatkan kehidupan yang sedia ada. Hal ini berlaku kerana wujudnya peluang yang berbentuk keamanan negara, sistem pemerintahan yang kuat dan adil, dan adanya pemerintah yang berwibawa dan kuat.
3.      Generasi hari ini perlu sedar bahawa hasil daripada pembangunan pengetahuan yang baik dari segi keagamaan, falsafah dan sains dan teknologi, banyak perubahan telah berlaku dari masa ke masa.
4.      Generasi hari ini perlu sedar yang mereka perlu mempunyai kebolehan menjangka perubahan yang akan berlaku seperti yang terdapat pada masyarakat zaman dahulu. Oleh itu, kita patut terus meningkatkan  pemikiran dan kemahiran dengan cara menambahkan ilmu yang ada atau meneroka bidang baru untuk terus mempertingkatkan tamadun kita.